All News

KUIZ HARI Q BERI KESEDARAN KEPENTINGAN PENGURUSAN KUALITI

KUIZ HARI Q BERI KESEDARAN KEPENTINGAN PENGURUSAN KUALITI

Sempena sambutan Hari Kualiti Sedunia yang disambut pada setiap Khamis minggu kedua bulan November, Institut Pengurusan Kualiti (IPQ), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Kuiz Hari Kualiti Sedunia, baru-baru ini.

Pengarah IPQ, Prof. Madya Dr. Mohd. Haniff Jedin berkata, kuiz yang diadakan itu terbuka kepada semua staf UUM terdiri daripada staf akademik dan staf pentadbiran di mana peserta hanya perlu menjawab tiga soalan sahaja berkaitan pengurusan kualiti.

Menurutnya, kuiz ini diadakan bertujuan memberi cakna kepada semua staf UUM bahawa pengurusan kualiti penting bukan sekadar untuk mencapai kepuasan pelanggan tetapi kaedah memastikan organisasi terus berfungsi dengan lebih baik.

Katanya, seramai 47 peserta telah menyertai kuiz tersebut dan Pihak IPQ telah melaksanakan saringan dan menyenarai pendek tiga pemenang yang menepati jawapan kepada soalan kuiz.

Hadiah pertama dimenangi oleh Dr. Sharina Samsudin dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), diikuti tempat kedua oleh Mohd Redzuan Mohd Yusoff dari Pusat Kesihatan Universiti (PKU), manakala tempat ketiga dimenangi oleh Aniza Sabjan dari Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC).

Hadiah disampaikan oleh Dr. Mohd Haniff kepada pemenang yang menerima hadiah berupa hamper dan sijil.

Sambutan Hari Kualiti Sedunia atau Hari Q merupakan acara tahunan dalam kalendar setiap agensi sektor awam semenjak Gerakan Budaya Kerja Cemerlang dilancarkan pada 1989.

Tujuan sambutan Hari Kualiti Sedunia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang pengurusan kualiti di peringkat global.

Pada tahun ini, Hari Kualiti Sedunia disambut pada 9 November 2023.