All News

AKTIVITI HIKING FOR HEALTH DAN KIBARKAN JALUR GEMILANG DI BUKIT TELIPONG, CHANGLUN

AKTIVITI HIKING FOR HEALTH DAN KIBARKAN JALUR GEMILANG DI BUKIT TELIPONG, CHANGLUN

Bersempena sambutan bulan kemerdekaan, Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) telah menganjurkan program "Hiking for Health" dan Kibarkan Jalur Gemilang di Bukit Telipong, Batu Lapan, Changlun pada 13 September 2023. 

Program pendakian diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Haniff bin Jedin, Pengarah IPQ; Prof. Madya Dr. Ku Maisarah binti Ku Bahador, Timbalan Pengarah (Bahagian Kualiti); Puan Faizah binti Hashim, Timbalan Pengarah (Bahagian Pentadbiran & Kewangan) serta kakitangan IPQ.

Laluan pendakian ke Puncak Bukit Telipong agak mencabar fizikal dan mental kerana laluannya curam dan tinggi. Pendakian berakhir di puncak bukit iaitu di kawasan rehat "Fighters Cafe Bukit Telipong". Semua staf IPQ menghilangkan keletihan dan kehausan dengan menikmati sarapan pagi di cafe tersebut.

Pengisian aktiviti lain iaitu Pertandingan Kuiz Kemerdekaan dan Hari Malaysia Ke-66 turut diadakan bagi menguji pengetahuan staf tentang sejarah Kemerdekaan Malaysia. Pemenang pertandingan kuiz dipilih berdasarkan jawapan yang paling tepat dan hadiah yang menarik telah diberikan kepada 10 pemenang yang berjaya menjawab soalan kuiz yang diberikan oleh Pengarah.

Bukan itu sahaja, semasa berada di Puncak Bukit Telipong semua kakitangan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai melambangkan simbol pengorbanan, kebebasan dan kebanggaan rakyat Malaysia di samping menyemarakkan semangat patriotik cintakan negara. Semua peserta begitu teruja dengan pemandangan yang cantik di atas puncak Bukit Telipong yang merupakan jalinan bukit bukau merentasi Kedah/Perlis dengan ketinggian lebih kurang 300 meter. Peserta tidak melepaskan peluang mengabadikan kenangan dengan bergambar selepas mengharungi cabaran mendaki untuk sampai ke puncak.

Menurut Pengarah aktiviti seperti ini, perlu diteruskan bagi merapatkan jalinan ukhwah di kalangan peserta dan mendorong kakitangan untuk sentiasa mengamalkan gaya hidup yang sihat serta dapat meningkatkan kecergasan diri agar lebih produktif dalam menjalankan tugas.