All News

AUDIT SIRIM QAS PASTIKAN UUM LAKSANA PENGURUSAN KUALITI BERTERUSAN

AUDIT SIRIM QAS PASTIKAN UUM LAKSANA PENGURUSAN KUALITI BERTERUSAN

SINTOK: Bagi memastikan Universiti Utara Malaysia (UUM) melaksanakan pengurusan kualiti berterusan, SIRIM QAS telah mengadakan Audit Pemantauan MS ISO 9001:2015 selama tiga hari bermula hari ini.

Audit pemantauan yang diketuai Juruaudit, Maznah Mat Isa bersama dua auditor, Lt. Kol. (B) Abd Lataf Daud dan Dr. Shahanif Hasan telah disambut Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, pagi tadi.

Dr. Mohd Foad berkata, proses audit tersebut adalah bagi memastikan UUM telah melaksanakan sistem pengurusan kualiti dalam skop pensijilan yang ditetapkan.

Menurutnya, UUM sentiasa bersikap terbuka terhadap apa jua cadangan dan teguran yang dikemukakan oleh SIRIM bagi tujuan penambahbaikan sistem pengurusan kualiti UUM.

“Sehingga kini, setelah 22 tahun, UUM terus memperkemaskan Sistem Pengurusan Kualiti dengan mempertingkatkan proses kerja yang terlibat bagi memperkasakan pembudayaan kualiti dalam kalangan staf agar seiring dengan perubahan ISO.

“Selain itu, audit dalaman UUM juga telah dilaksanakan seperti yang dinyatakan dalam keperluan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 dan semua penemuan audit telah dibincangkan di dalam Mesyuarat Majlis Kualiti Universiti pada 12 September lalu,” ujar beliau.

Naib Canselor berharap, audit selama tiga hari ini akan mendapat perkembangan positif, selain warga UUM yang sedia memberi komitmen dan kerjasama kepada pasukan juruaudit SIRIM.

Sebanyak sembilan pusat tanggungjawab termasuk pusat pengajian terlibat dalam proses audit berkenaan iaitu Institut Pengurusan Kualiti, Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Pusat Islam, Jabatan Keselamatan, Pusat Pengajian Pendidikan, U-Assist, Institusi Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) dan Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ).

Sementara itu, Maznah berkata, audit pemantauan itu adalah untuk menentukan pematuhan berterusan sistem pengurusan kualiti pelanggan kepada standard ISO 9001:2015.

Katanya, pengauditan telah dijalankan mengikut skop pensijilan iaitu reka bentuk dalam pembangunan program sarjana muda dan pascasiswazah (OYAGSB), peruntukan perkhidmatan pendidikan untuk pelajar sarjana muda dan pascasiswazah (OYAGSB) dan peruntukan penyelidikan, penerbitan, perkhidmatan perpustakaan dan lain-lain perkhidmatan sokongan.

UUM telah menerima semula Pensijilan MS ISO 9001:2015 bagi tempoh tiga tahun lagi setelah audit dilakukan pasukan audit SIRIM QAS pada November 2022.