All News

UUM SASAR PENSIJILAN EKSA 2024

UUM SASAR PENSIJILAN EKSA 2024

Universiti Utara Malaysia (UUM) menyasarkan akan memperoleh pensijilan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) pada 2024.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pembudayaan EKSA ini akan dilaksanakan secara menyeluruh di kampus Sintok dan UUM Kampus Kuala Lumpur (UUMKL).

Menurutnya, pelaksanaan ini selaras dengan hasrat untuk mendapatkan pensijilan EKSA daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang akan menggantikan pensijilan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Tambah beliau, UUM melalui Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) telah menerima pensijilan MPC sebanyak tujuh kali berturut-turut.

“Justeru, pensijilan EKSA yang julung kali direalisasikan ini bakal menjadikan UUM seiring dengan universiti-universiti lain serta badan-badan berkanun dalam mendukung aspirasi persekitaran dan tadbir urus yang lestari.

“EKSA yang dilaksanakan ini merupakan penjenamaan semula Amalan 5S dan langkah ini adalah sesuai dan bertepatan serta seiring dengan perubahan dan kehendak semasa untuk meningkatkan prestasi dan daya saing organisasi,” ujarnya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Staf serta Pelancaran EKSA UUM di Dataran Perdana, hari ini.

Terdapat lima elemen utama yang ditambah baik dalam EKSA iaitu imej korporat, kreativiti dan inovasi, amalan hijau, persekitaran kondusif dan kepelbagaian agensi.

Dr. Mohd Foad dalam ucapannya juga berharap pelaksanaan EKSA akan dapat menyemarakkan lagi budaya kreatif dan inovatif dalam kalangan warga UUM.

Menurutnya, beliau meletak harapan yang tinggi kepada barisan Jawatankuasa Pelaksana serta berharap semua warga UUM dapat bersama-sama memastikan impak daripada pelaksanaan EKSA ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Pada majlis sama turut diadakan penyampaian Surat Pelantikan Jawatankuasa Pelaksana EKSA UUM dan penyampaian Sijil Akreditasi Pertolongan Cemas Kesihatan Mental (Mental Health First Aid).

Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana, IPQ sebagai Penyelaras EKSA UUM dan Timbalan Pengarah (Pemasaran dan Promosi) UUM Corporate Communication, Dr. Azahar Kasim turut dilantik sebagai Jawatankuasa Promosi EKSA.