All News

MEMPERKASAKAN KOMPETENSI JURUAUDIT KUALITI DALAMAN UNIVERSITI

MEMPERKASAKAN KOMPETENSI JURUAUDIT KUALITI DALAMAN UNIVERSITI

Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya mengekalkan pensijilan MS ISO 9001:2015 daripada SIRIM QAS sejak 2001 sehingga kini. 

Kejayaan mengekalkan pensijilan tersebut dibantu oleh Laporan Audit Kualiti Dalaman yang dilaksanakan oleh sekumpulan juruaudit kualiti dalaman lantikan universiti.

Bagi menghadapi audit kualiti dalaman university yang akan berlangsung pada 3 hingga 31 Julai depan, Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) telah menganjurkan Bengkel Pemantapan Juruaudit Kualiti Dalaman Universiti MS ISO 9001:2015 di Dewan Sri Angsana, EDC-UUM, baru-baru ini.

Seramai 106 juruaudit pentadbiran dan akademik telah menyertai bengkel tersebut yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan latihan tentang bagaimana melaksanakan audit dalaman serta cara menyediakan laporan penemuan audit dalaman yang lengkap. Selain itu, juruaudit juga didedahkan dengan pengauditan Risk Register.

Pengarah IPQ, Prof. Madya Dr. Mohd Haniff Jedin berkata, objektif bengkel adalah untuk meningkatkan kompetensi juruaudit dalam penulisan nota audit, penulisan penemuan audit dengan mengenal pasti ketidakpatuhan secara objektif mengikut kriteria audit dan menulis penemuan NCR dan OFI dengan jelas.

Bengkel yang diadakan selama satu hari itu telah dikendalikan oleh Ketua Bahagian Pematuhan dan Pembangunan Kapasiti, Pusat Pengurusan dan Penambahbaikan Kualiti (QMEC) Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Amalina Muhammmad Afifi.

Menurut Dr. Amalina, seseorang juruaudit harus mempunyai sifat seperti boleh membuat keputusan, diplomatik, beretika, tabah, terbuka kepada penambahbaikan dan kerjasama.

Katanya lagi, penulisan penemuan audit perlu mempunyai tiga perkara berikut iaitu audit kriteria, kenyataan ketidakakuran dan bukti objektif bagi menghasilkan penulisan penemuan audit yang berkualiti.

Bengkel diakhiri dengan penyampaian buku cenderahati oleh Pengarah IPQ kepada penceramah dan pemakluman lawatan audit SIRIM yang dijadualkan pada 25 sehingga 27 September nanti.