All News

LAWATAN PENANDA ARAS IPQ KONGSI PENGALAMAN DAN CABARAN DALAM PENGURUSAN KUALITI

LAWATAN PENANDA ARAS IPQ KONGSI PENGALAMAN DAN CABARAN DALAM PENGURUSAN KUALITI

‘Jauh perjalanan, luas pengetahuan’. Peribahasa ini menjadi pembakar semangat kepada 20 staf Bahagian Kualiti dan Pentadbiran serta Bahagian Akreditasi, Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) untuk berkongsi pengalaman serta cabaran yang dilalui oleh Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam mengurus kualiti akademik dan perkhidmatan di universiti berkenaan.

Delegasi IPQ yang diketuai Pengarahnya, Prof. Madya Dr. Mohd Haniff Jedin telah mengadakan lawatan penanda aras ke UNITEN Kampus Putrajaya dan UTM, Skudai selama dua hari pada 15 hingga 16 Mac lalu. 

UNITEN menerapkan konsep enam nilai utama iaitu Integrity, Collaborative, Customer Centricity, Professionalism, Forward Thinking & Mindfulness yang menjadi peneraju kepada kejayaan universiti tersebut sebagai di antara universiti swasta terkemuka.

Sesi penerangan di UNITEN disampaikan Pengarah, Quality Advancement Centre, Prof. Dr. Hanim Salleh yang berkongsi tentang Sistem Pengurusan Kualiti UNITEN digabungkan bersama nilai-nilai syariah serta model UNITEN Anti-Bribery Management Systems (ABMS) yang diguna pakai dalam menguruskan sistem kualiti.

UNITEN turut menerapkan kaedah PDCA (Plan, Do, Check, Act) dalam melakukan sesuatu perubahan pengurusan untuk penambahbaikan jangka panjang.

Lawatan penanda aras ke Pusat Kualiti dan Pengurusan Risiko (QRiM), UTM pula memfokuskan kepada perkongsian pengalaman UTM dalam membuat persediaan audit Swaakreditasi. 

Pengarah QRiM, Prof. Dr. Yahaya Md. Sam, telah menyampaikan taklimat ringkas berkaitan fungsi QRiM serta pelaksanaan Pengurusan Kualiti di UTM.

Pihak QRiM menggunapakai Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) sebagai platform untuk menjaga dan memastikan sistem kualiti tersebut dilaksanakan dengan berkesan, di samping memastikan semua Ketua Juruaudit ISO mereka mempunyai kelayakan yang diiktiraf oleh pihak SIRIM bagi menjaga kualiti juruaudit dalaman.

Selepas lawatan penanda aras di QRiM, Pengarah IPQ UUM telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pengurusan Kualiti Universiti Awam Bil 1/2023 (MPQ-UA) di Dewan Senat, UTM.